Wednesday, November 30, 2011

RM100: Antara fitnah dan syukur


SEPANJANG minggu lalu isu pemberian wang bantuan persekolahan RM100 terus menjadi perbualan hangat masyarakat.

Kerajaan melalui Bajet 2012 Oktober lalu telah meluluskan peruntukan tersebut bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan menghantar anak mereka memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Peruntukan yang mula diagihkan mulai minggu lepas kepada ibu bapa oleh sekolah mencetuskan beberapa polemik di kalangan masyarakat.

Antaranya terdapat sekolah yang cuba mengambil kesempatan dengan memotong sesuka hati pelbagai bayaran sampingan seperti yuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di samping kegusaran ibu bapa yang tidak sempat untuk mengambilnya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Tindakan pihak sekolah yang cuba mengambil kesempatan itu telah menimbulkan rasa kemarahan dan ketidakpuasan hati ibu bapa yang berang dengan tindakan sekolah terbabit.

Mujur campur tangan segera pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khususnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan sekolah terbabit memulangkan kembali wang yang dipotong itu meredakan kembali keadaan.

Sepatutnya isu ini tidak timbul langsung. Pihak sekolah terbabit sewajarnya lebih sensitif dan bertanggungjawab dalam isu seperti ini yang membuat rakyat tidak puas hati dan marah.

Apatah lagi dilaporkan ada sekolah yang potong sehingga RM50 iaitu separuh dari bantuan kewangan terbabit.

Kita harap dengan adanya campur tangan KPM dan juga Timbalan Perdana Menteri sendiri, isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan secara berhemah.

Dalam pada itu pengumuman kerajaan bahawa bantuan kewangan ini boleh dituntut oleh ibu bapa sehingga akhir bulan ini termasuk ketika cuti sekolah pula disambut dengan gembira oleh ibu bapa yang belum berkesempatan mengambil wang pemberian tersebut.

Ternyata kerajaan serius dan ikhlas dalam menyalurkan bantuan ini demi meringankan beban ibu bapa menjelang musim persekolahan yang akan datang.

Namun apa yang dikesali ialah sudah ada pihak yang menabur fitnah kononnya pemberian bantuan kewangan ini adalah usaha pihak kerajaan untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang.

Ternyata bagi golongan yang kekeringan idea dan modal politik serta terdesak seperti ini apa saja kebaikan yang kerajaan buat tetap dipandang sinis dan dilihat dari sudut yang negatif secara prejudis.

Lantas mereka mengambil peluang ini untuk menaburkan fitnah dengan cuba mengaburi mata rakyat melalui pelbagai dakyah dan fakta yang memesongkan dengan harapan rakyat akan termakan pujuk rayu terbabit.

Justeru, kita berharap sangat agar masyarakat akan lebih matang, waras dan adil dalam menilai dan menghakimi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan seperti ini. Fikirlah secara positif dan elaklah segala prejudis terhadap usaha dan bantuan kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Ringkasnya, tepuk dada tanyalah selera masing-masing. Apakah selama ini kerajaan hanya membantu rakyat ketika musim pilihan raya semata-mata?

Bukankah selama ini segala jenis bantuan disalurkan sepanjang masa tanpa mengira musim dan keadaan. Malah di kawasan yang kalah juga kerajaan tetap menyalurkan pelbagai jenis bantuan atas rasa tanggungjawab kepada rakyat.

Ternyata apa yang kerajaan buat seperti bantuan kewangan ini adalah bukti keprihatinan dan keikhlasan pihak kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat.

Ini adalah tanggungjawab asas sesebuah kerajaan maka adalah tidak adil untuk kita melihat secara negatif dan prejudis.

Namun apa yang dikesali ialah kita yakin masih ada rakyat yang mudah terpengaruh dan percaya dengan segala tohmahan yang dilemparkan.

Malah lebih teruk lagi masih terdapat segelintir rakyat kita yang begitu mudah lupa segala bantuan yang kerajaan salurkan selama ini apatah lagi untuk mengucap terima kasih mahupun mensyukuri segala bantuan tersebut.

Belajarlah untuk sentiasa berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan kerajaan. Pada masa yang sama kerajaan juga sentiasa mengharapkan sokongan rakyat tanpa berbelah bagi agar dapat terus menyediakan pelbagai lagi bantuan dan kemudahan demi kebajikan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Perancangan Korport
Universiti Putra Malaysia(UPM)
Serdang, Selangor

No comments:

Post a Comment